Ahad, 22 Februari 2009

Hujan akhiri kemarau muzik Malaysia

Judul: Check Check Rock Rock
Artis: Hujan
Genre: Alternatif Rock
Label: Noh Phrofile Enterprise
Pengulas: Elly

Sudah beberapa kali saya menonton persembahan band muzik Hujan ini. Wow... memang sungguh luar biasa sekali penangan Hujan. Macam Lefthanded, Search dan Wings waktu zaman kegemilangan mereka dulu.

Mempunyai pengikut bergelar Raingers yang bukan saja ramai dan supportive tetapi juga sering merempuh di depan pentas setiap kali mereka beraksi di dalam mana-mana persembahan. Tidak hairanlah mengapa syarikat rakaman Universal Music dan juga beberapa yang lain kini sudah mula sibuk memancing mereka untuk dijadikan sebagai artis naungan mereka.
Malah mereka ini jugalah yang sering diperkatakan di kalangan pemuzik serta karyawan muzik tanah air kita. Sebuah band muzik yang sedang meletup. Bukankah ia satu fenomena yang dahsyat? Saya harap anda semua akan terima hakikat bahawa Hujan adalah satu fenomena dalam industri muzik tanah air kita walaupun mereka lebih selesa berjuang dalam underground scene.

Ada juga yang tanya kepada saya, Hujan ini band muzik apa? Apakah mereka ini datang daripada Indonesia? Oh Tuhan, Hujan adalah seratus persen band muzik buatan Malaysia dan itu membuatkan saya berasa paling bangga.

Akhirnya, pada saat-saat ini muncul juga sebuah band muzik tempatan yang menjadi ikon kepada kalangan muda-muda kita dan mereka bermain muzik baru yang benar-benar memenuhi cita rasa pendengar muzik yang sudah lama dahagakan perubahan seperti ini.
Kemunculan Hujan juga bagi saya adalah satu rahmat. Apatah lagi di saat kebanjiran artis band muzik dari luar dan kita pula sangat gersang dengan kuwujudan band muzik seperti Hujan yang ada pengaruh dari segala semua sudut khususnya muzik dan cara penampilan mereka sewaktu beraksi di atas pentas. Apapun, muzik Hujan yang berteraskan alternatif rock tetapi mempunyai banyak jalur muzik lain termasuklah Jazz memang kedengaran sangat stailo. Mungkin cara mereka menggarap setiap elemen genre muzik ini yang menjadikan muzik mereka adalah sesuatu.

Menjadikan ia lebih solid apabila ia digabungkan dengan lirik yang selamba, cool dan dihasilkan dengan smart way. Setiap bait kata tidak sampaikan secara terus tetapi mempunyai maknanya sendiri.

Misalnya lagu yang berjudul Sedih yang dimuatkan dalam album terbaru mereka ini iaitu Check Check Rock Rock. Liriknya sangat sempoi tapi menarik. Begini bunyinya: Kini ku sepi tak mahu buang masa lagi mencari mencari/dindingnya terlalu tinggi ku cuma mahu tahu apa di sebelah - tak salah/tunduk elak memang helah nya/ tangan umur 3 tahun cuma genggam satu semesta/tak sakit/tak sakit nawaitu nya ada/ tergesa gesa rasa gelisah ini pasrah/ ku lihat kabur ku harus akur aku tunduk.

Saya juga suka dengan beberapa lagu lain mereka dalam album ini seperti Lepaskan Aku, Aku Scandal, Neon dan Ludah Amerika. Lagu ini mempunyai attitude serta warna yang tersendiri. Banyak pengaruh yang dapat anda dengar di dalam album ini. Anda dengar sendirilah.
Tabiklah pada Noh yang menjadi vokalis utama serta pemain gitar di dalam album ini adalah tulang belakang di sebalik kejayaan Hujan kerana selain menyanyi, dialah yang menghasilkan kebanyakan lagu serta lirik di dalam EP terbaru mereka ini.
Sungguhpun begitu saya tidak boleh menidakkan kemampuan ahli lain di dalam band ini kerana kreativiti mereka juga sangat jelas sekali terutama dalam mempamerkan skil-skil permainan yang hebat.